Salah konsep mengenai kapasiti di dalam pengajaran dan pembelajaran topik Isipadu Cecair merupakan satu masalah yang sering berlaku di kalangan murid-murid sekolah rendah terutamanya murid-murid Tahun 2. Ramai murid-murid datang ke sekolah dengan beberapa konsep panjang dan beberapa kosa kata yang berkaitan dengannya. Murid-murid mempunyai idea yang amat sedikit mengenai kapasiti. Sebagai seorang guru perlulah berhati-hati dan mengetahui bahawa murid-murid terutamanya murid Tahun 2 akan menghadapi masalah ini.
Walaupun perbandingan persepsi boleh dibuat di antara dua bekas, murid-murid biasanya membuat perbandingan mengenai panjang atau lebih tepat , tingginya berbanding kapasiti. Contohnya : Jika murid ditanya tentang bekas mana yang mempunyai lebih isi, samaada bekas yang lebih tinggi atau yang lebih rendah tetapi lebih lebar. Kebanyakan murid-murid akan memilih bekas yang lebih tinggi walaupun sebenarnya bekas yang lebih rendah dan lebih lebar itu yang mempunyai lebih isi.
Salah konsep mengenai kapasiti isipadu cecair boleh didefinisikan sebagai kesilapan penaakulan murid-murid terhadap kapasiti isipadu dalam bekas yang berbeza.
Untuk mengatasi masalah ini, guru perlulah memperbetulkan persepsi murid-murid melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Bahan bantu mengajar yang sesuai amatlah penting untuk menerangkan konsep isipadu cecair kepada murid-murid. Bahan bantu mengajar yang digunakan, perlulah bahan yang berkaitan dengan kehidupan seharian murid-murid supaya ianya lebih diingati oleh murid. Guru juga perlu mengambil kira kriteria bahan bantu mengajar yang digunakan seperti mudah didapati, dan tidak terlalu mahal.
No comments:
Post a Comment